fb fb fb fb fb

Beribu-ribu peminat Madonna berkumpul di pantai Copacabana, saksi konsert percuma

FOTO REUTERS

BRAZIL, 5 Mei - Beribu-ribu peminat penyanyi pop legenda dunia, Madonna membanjiri pantai Copacabana di Rio de Janeiro pada Sabtu menjelang konsert terbuka percuma bintang pop itu yang dijangka menarik kira-kira 1.5 juta pengunjung.

Persembahannya di Brazil menandakan berakhirnya jelajah dunia hits terbesar Madonna, 'Celebration' yang bermula pada akhir 2023.

Kerajaan bandar Rio berkata beribu-ribu pegawai polis akan ditempatkan di sekitar kawasan konsert itu untuk menjaga keselamatan penonton.

Dengan suhu sekitar 28 darjah Celsius (82 darjah Fahrenheit), anggota bomba pada Sabtu menyediakan kipas di sekitar pentas dan turut mengedarkan air minuman percuma.

Pihak berkuasa Brazil telah meningkatkan keselamatan mereka selepas seorang peminat muda Brazil meninggal dunia pada konsert Taylor Swift tahun lepas akibat keletihan haba.

Madonna tiba di bandar itu pada awal minggu dan peminat teruja berkumpul di sekitar hotelnya.

"Madonna sentiasa mengejutkan kami, jadi saya mengharapkan banyak daripada rancangan ini. Ia adalah persembahan bersejarah, sejarah 40 tahun. Akan ada banyak perkara. Dia akan menyampaikan banyak perkara, dan ia akan menjadi sangat luar biasa." kata peminat Andrei Oliveira.

"Madonna adalah persembahan. Tiada persembahan yang lebih baik daripada Madonna." kata Erika Silva.

Kerajaan negeri dan bandar Rio berkata mereka membelanjakan 20 juta reais ($3.9 juta) untuk konsert itu, manakala selebihnya dibiayai penaja swasta.

Pihak berkuasa menganggarkan konsert itu boleh menyumbang kira-kira 300 juta reais kepada ekonomi Rio. - REUTERS

TETITIA YUSOFF