TENERIFE, 17 Ogos- Anggota bomba Sepanyol mengawal kebakaran hutan yang berlaku di taman negara pergunungan di pulau Tenerife negara itu dan menyebabkan pihak berkuasa memindahkan kira-kira 3,800 penduduk.
Api merebak sejauh 31 kilometer merentasi hutan kering berhampiran gunung berapi Gunung Teide (puncak tertinggi Sepanyol). Ia menghalang akses ke kawasan itu dan menutup sebahagian besar kepulauan itu dengan asap tebal dan debu.
Kebakaran pada Rabu itu telah membakar 2,600 hektar tanah.
Menurut ketua wilayah itu Fernando Clavijo dalam satu sidang media, "ia merupakan malam yang sukar kerana kebakaran ini paling kompleks di Pulau Canary dalam tempoh 40 tahun ini."
Ketua perkhidmatan kecemasan di Tenerife Pedro Martinez berkata, kebakaran merebak ke bahagian utara dan ke kawasan tapak perkhemahan.
Bagaimanapun beberapa kampung telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala beberapa penduduk di kawasan lain diarah untuk tidak meninggalkan kediaman mereka.
Perlindungan awam berjaya mengeluarkan 1,294 penduduk keluar dari kediaman mereka di perbandaran El Rosario dan 1,525 lagi dari kawasan La Orotava. Kesemua penduduk terjejas mencecah 3,800 orang.
Pihak berkuasa tempatan mengerahkan 17 pesawat dan gabungan 350 anggota bomba dan anggota tentera. Pesawat pengeboman air tambahan tiba dari tanah besar.
Semua akses ke pergunungan di pulau itu, termasuk Gunung Teide ditutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Pengendali lapangan terbang Sepanyol Aena berkata, dua lapangan terbang Tenerife beroperasi seperti biasa.
Minggu lalu, gelombang panas di Kepulauan Canary menyebabkan banyak kawasan kering dan meningkatkan risiko kebakaran hutan.
Musim panas ini, anggota bomba telah memadamkan beberapa siri kebakaran hutan di Pulau Gran Canaria dan La Palma, yang merupakan sebahagian daripada kepulauan Kepulauan Canary.- REUTERS
(Bomba memadam kebakaran hutan di Arafo di pulau Tenerife, Kepulauan Canary/REUTERS)