fb fb fb fb fb

Bekas tentera Guatemala dipenjara kerana rogol wanita suku kaum Maya Achi

Foto REUTERS

GUATEMALA CITY, 31 Mei-Mahkamah Tinggi Guatemala pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun terhadap tiga bekas anggota paramilitari selepas didapati bersalah merogol enam wanita Orang Asli negara itu antara tahun 1981 hingga 1983, iaitu tempoh paling berdarah dalam perang saudara negara itu.

Perbicaraan terhadap ketiga-tiga tertuduh, yang merupakan bekas anggota Peronda Pertahanan Diri Awam iaitu kumpulan bersenjata yang direkrut oleh tentera bermula empat bulan lalu.

Paulina Ixpata, seorang wanita suku kaum Maya Achi, memberi keterangan semasa perbicaraan dan menceritakan beliau ditahan selama 25 hari oleh kumpulan tersebut.

“Tentera tiba lewat malam, mencampak saya ke tanah dan merogol saya... Begitulah sepanjang malam itu,” katanya.

Pendakwa raya membentangkan lebih 160 bahan bukti terhadap para tertuduh.

Hakim Maria Eugenia Castellanos menjatuhkan hukuman ke atas mereka atas jenayah terhadap kemanusiaan dalam bentuk keganasan seksual.

“Wanita-wanita ini mengenal pasti pelaku dan tempat kejadian. Mereka adalah mangsa jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

Ini merupakan perbicaraan kedua dalam kes yang dikenali sebagai Kes Maya Achi, susulan laporan keganasan seksual yang difailkan antara 2011 hingga 2015 oleh 36 wanita terhadap bekas anggota tentera, pesuruhjaya tentera dan anggota peronda awam bersenjata.

Dalam perbicaraan pertama pada Januari 2022, lima bekas anggota peronda telah dihukum penjara 30 tahun. Mereka masih dipenjara.

Pada tahun 2016, mahkamah Guatemala menjatuhkan hukuman terhadap dua bekas pegawai tentera kerana menjadikan 15 wanita komuniti Q’eqchi’ – juga daripada etnik Maya – sebagai hamba seks di pangkalan tentera Sepur Zarco.

Ia merupakan kes pertama di Guatemala di mana pegawai tentera dihukum atas jenayah rogol semasa konflik bersenjata. Mereka dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 360 tahun dan masih ditahan.

Mahkamah turut menetapkan satu program pampasan, namun kemajuannya masih terhad meskipun menerima sokongan berterusan daripada 15 wanita yang terlibat dalam kes itu, kini dikenali sebagai "Nenek Sepur Zarco".-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD