fb fb fb fb fb

10 maut, 6 cedera runtuhan batu kuari di Indonesia

Foto REUTERS

CIREBON, 31 Mei – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan enam cedera dalam kejadian runtuhan batu di sebuah kuari di Cirebon, Jawa Barat pada Jumaat, menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB).

Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan.

Rakaman televisyen menunjukkan jentera penggali mengalihkan batu besar manakala petugas memindahkan beg mayat ke ambulans.

Stesen penyiaran Kompas TV sebelum ini melaporkan kira-kira 10 orang dilaporkan hilang.

BNPB memaklumkan bahawa beberapa peralatan berat, termasuk tiga jentera penggali, turut tertimbus, dan operasi menyelamat akan disambung pada Sabtu. Namun, agensi itu tidak memberikan anggaran rasmi jumlah sebenar mangsa yang hilang.

Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, dalam hantaran di Instagramnya, menyifatkan lokasi kejadian sebagai berbahaya dan tidak memenuhi standard keselamatan untuk para pekerja.

Kemalangan lombong merupakan perkara biasa di Asia Tenggara yang kaya dengan mineral, terutamanya di tapak perlombongan haram yang tidak mematuhi protokol keselamatan.

Pada tahun 2023, lapan pekerja maut selepas terperangkap di lombong emas haram di Jawa Tengah.

Pada Julai tahun lalu, sekurang-kurangnya 23 orang terkorban manakala 35 lagi hilang selepas tanah runtuh melanda sebuah kampung terpencil berhampiran lombong emas haram di pulau Sulawesi.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD