fb fb fb fb fb

Bekas taikun kripto berdepan hukuman penjara sehingga 110 tahun, bersalah atas tujuh kes penipuan

Sam Bankman-Fried / AFP

NEW YORK, 3 November- Bekas taikun mata wang kripto, Sam Bankman-Fried didapati bersalah pada Khamis oleh juri Mahkamah New York atas ke semua tujuh pertuduhan penipuan, penyelewengan dan konspirasi jenayah.

Panel juri mencapai keputusan selepas lima minggu perbicaraan, dan Bankman-Fried kini berdepan sehingga 110 tahun hukuman penjara.

Bekas jutawan berusia 31 tahun itu disabitkan dengan dua pertuduhan konspirasi penipuan telekomunikasi, dua pertuduhan penipuan wang haram dan satu pertuduhan konspirasi pengubahan wang haram, yang setiap satunya membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara.

Dia juga disabitkan dengan konspirasi untuk melakukan penipuan komoditi dan konspirasi untuk melakukan penipuan sekuriti, yang masing-masing membawa hukuman maksimum lima tahun.

Semasa keputusan dibacakan, Bankman-Fried berdiri kaku, menghadap juri.

Saksi bagi pendakwaan termasuk Caroline Ellison, Nishad Singh dan Gary Wang, yang kesemuanya pernah bekerja untuk Bankman-Fried di FTX atau Alameda dan kesemua mereka mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan termasuk menyertai skim yang didakwa menipu berjuta-juta pelanggan.

Ketiga-tiga mereka menuduhnya mendalangi penggunaan wang pelanggan FTX untuk membuat pembelian daripada kondo mewah di Bahamas sehinggalah untuk menampung kerugian di Alameda, dana lindung nilai mata wang kripto Bankman-Fried.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE