fb fb fb fb fb

Bekas ketua tentera Guinea ditahan semula selepas lolos dari penjara

Bekas pemimpin kerajaan tentera Guinea Moussa Dadis Camara/ AFP

CONAKRY, (Guinea, Afrika), 5 November- Bekas pemimpin kerajaan tentera Guinea Moussa Dadis Camara yang melarikan diri dari penjara di Conakry, Guinea pada pagi Sabtu, berjaya ditahan semula, lapor Xinhua.

Ketua Staf dan Jeneral Angkatan Tentera kerajaan peralihan Guinea, Ibrahima Sory Bangoura mengesahkan dalam satu kenyataan rasmi bahawa Moussa Dadis Camara selamat serta sihat dan kini kembali ke penjara Conakry.

Pada masa yang sama dua pelarian lain, Kolonel Moussa Tiegboro Camara dan Kolonel Blaise Gomou, turut ditahan semula dan dibawa pulang ke penjara.

Semua langkah sedang diambil untuk mengesan tahanan terakhir iaitu Komander Claude Pivi, katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kehakiman, Peguam Negara di Mahkamah Rayuan di Conakry telah mengeluarkan arahan untuk memulakan prosiding pertuduhan terhadap keempat-empat tahanan.

Tahanan terbabit termasuk  bekas presiden peralihan, Kapten Moussa Dadis Camara,  bekas menteri yang bertanggungjawab menangani jenayah terancang, Kolonel Moussa Tiegboro Camara, bekas anggota skuad antidadah, Blaise Gomoudan dan bekas menteri yang bertanggungjawab untuk keselamatan presiden, Komander Claude Pivi.

Moussa Dadis Camara melancarkan rampasan kuasa pada 23 Dis 2008, dan menjadi ketua kerajaan tentera. Dia kehilangan kuasa pada Januari 2010 dan hidup dalam buangan di luar negara.

Camara kembali ke Guinea pada Disember 2021 dan kemudiannya berdepan pertuduhan menyekat dengan kejam protes yang berlaku di Conakry pada 28 Sept 2009, yang mengakibatkan kematian lebih 150 orang manakala lebih 1,000 cedera.
- BERNAMA-XINHUA

ZEHRA BINTI ZAMBRI