GAZA, 5 November- Sekurang-kurangnya 15 terbunuh, manakala lebih 70 lagi cedera, dalam serangan udara Israel yang mensasarkan Sekolah Al-Fakhoura di kem pelarian Jabalia, Gaza.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, Ashraf al-Qudra berkata serangan udara Zionis mensasarkan sebuah sekolah yang berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi pelarian Palestin di Jabalia.
Sekolah Al-Fakhoura, yang ditadbir Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin, telah menempatkan beribu-ribu orang yang hilang tempat tinggal akibat pengeboman berterusan Israel di Semenanjung Gaza, kini berlanjutan hampir sebulan.
Pengeboman berlaku di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas Gaza yang mensasarkan infrastruktur awam, walaupun serangan sedemikian melanggar peraturan perang.
Serangan terbaharu termasuk pengeboman ke atas lebih banyak sekolah, dua ambulans, dan sekitar tiga hospital hingga menyebabkan kematian.
Selain itu, tangki takungan air di timur Rafah baharu-baharu ini turut dibedil rejim Zionis.
Dalam pada itu, memasuki hari ke-29 konflik Israel-Palestin, menyaksikan kompleks Universiti Al-Azhar di Gaza dibom rejim zionis.
Buat kali kedua, universiti berkenaan, menjadi sasaran.
Serangan udara yang meluas ke atas penduduk Gaza, termasuk sekatan dilakukan Zionis selepas Hamas melancarkan operasi Taufan Al-Aqsa terhadap tentera rejim.
Angka kematian di Gaza dilapor meningkat dengan lebih 9,000 korban termasuk hampir 4,000 kanak-kanak.- AFP