fb fb fb fb fb

Bekalan bantuan ke Gaza hanya penuhi 10 peratus keperluan harian

Seorang budak lelaki membawa sekotak bekalan bantuan makanan daripada Yayasan Kemanusiaan Gaza di sempadan Palestin / foto fail AFP

RAMALLAH, 31 Mei - Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini menegaskan bahawa jumlah bantuan kemanusiaan yang kini memasuki Gaza amat tidak sepadan dengan skala bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di wilayah yang dikepung itu.

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Lazzarini dalam satu kenyataan media pada Sabtu memberi amaran bahawa kebuluran di Gaza masih boleh dielakkan – jika ada kemahuan politik.

“Apa yang kami minta bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya sambil menggesa supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibenarkan melaksanakan peranan kemanusiaannya dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan serta memelihara maruah mereka.

Lazzarini mendedahkan bahawa hanya 900 trak bantuan berjaya memasuki Gaza dalam tempoh dua minggu lepas – yang hanya mampu menampung 10 peratus daripada keperluan harian penduduk.

Beliau turut merayu supaya agensi PBB dan organisasi kemanusiaan dibenarkan menyambung semula operasi mereka di Gaza, susulan penggantungan kemasukan trak bantuan sejak 2 Mac lepas.

Lazzarini berkata bahawa semasa gencatan senjata sebelum ini, UNRWA dan kumpulan kemanusiaan lain berjaya membawa masuk antara 600 hingga 800 trak bantuan sehari, membuktikan bahawa keperluan bantuan mampu dipenuhi jika akses diberikan.- Bernama

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN