fb fb fb fb fb

Bas jatuh gaung di Peru, 25 terkorban

(FOTO AFP)

LIMA, 19 September- Seramai 25 penumpang termasuk dua kanak-kanak maut, manakala puluhan lagi cedera selepas bas dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung ketika melalui laluan sempit di kawasan pergunungan di tenggara Peru.

Dilaporkan kemalangan berlaku sebelum waktu Subuh apabila bas yang dalam perjalanan ke pekan Andes, terbabas ke dalam gaung kira-kira 200 meter di wilayah Huancavelica.

Menteri Pertahanan, Jorge Chavez mengesahkan jumlah kematian ialah seramai 25 orang dan 34 lagi cedera.

Beberapa foto di tempat kejadian menunjukkan bas itu terjatuh berhampiran kawasan sungai dengan serpihan dan barang peribadi bertaburan di kawasan sekeliling.

Polis dan pasukan penyelamat juga dilihat memeriksa kawasan sekeliling.

]
(Lokasi kejadian bas terjunam ke dalam gaung di Peru/ AFP)

Sementara itu, Presiden Peru, Dina Boluarte, yang berada di New York untuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyampaikan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa.

Kemalangan di wilayah sama bulan lalu menyebabkan 13 orang maut dan lima cedera parah.

Kemalangan kerap berlaku di lebuh raya Peru akibat pemanduan laju, keadaan jalan yang teruk, kekurangan papan tanda dan kelemahan penguatkuasaan peraturan lalu lintas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 4,414 kematian jalan raya di Peru pada 2019, atau 13.6 bagi setiap 100,000 penduduk. - AFP

Media Baharu