SINGAPURA, 24 Jun - Bantuan Malaysia memindahkan seorang rakyat Singapura dari Iran bukan sahaja mengukuhkan hubungan erat dan berpanjangan antara kedua-dua negara, malah menjadi bukti solidariti ASEAN.
Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dalam sepucuk surat kepada rakan sejawatanya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, Balakrishnan berkata, sokongan itu juga contoh nyata kepentingan Garis Panduan ASEAN mengenai Bantuan Konsul untuk Negara Anggota dalam usaha bersama untuk membantu rakyat masing-masing.
“Waktu sukar mendedahkan siapa sahabat sejati. Kami amat menghargai kesediaan kerajaan anda untuk menghulurkan bantuan ketika krisis,” tulisnya dalam surat itu.
Salinan surat itu turut dikongsi Balakrishnan di laman Facebook beliau dan menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia dan Oman atas sokongan yang amat bernilai dalam memindahkan rakyat Singapura dari Iran dengan selamat.
Dalam surat itu, beliau memaklumkan bahawa tindakan pantas dan profesional oleh Bahagian Konsul Kementerian Luar serta Kedutaan Besar Malaysia di Tehran dan Ashgabat telah membolehkan Singapura melaksanakan pelan pemindahan dalam keadaan yang mencabar.
“Bantuan segera mereka, terutamanya dalam mendapatkan penginapan, pengangkutan dan permit masuk ke Turkmenistan, amat penting dalam memastikan keselamatan rakyat kami,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Singapura merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Oman kerana membantu memudahkan kepulangan rakyatnya dari Iran dengan selamat. - BERNAMA