MOSCOW, 24 Jun - Rusia sedia membantu Iran dalam pelbagai cara bagi mendepani konflik berterusan dengan Israel yang semakin memuncak.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Rusia telah menawarkan usaha pengantaraannya namun semua itu bergantung kepada apa yang diperlukan Tehran.
di tengah-tengah ketegangan yang berterusan di Timur Tengah, bergantung kepada keperluan Tehran, menurut Kremlin pada Isnin.
“Kami telah menyatakan pendirian kami. Ini juga adalah satu manifestasi penting, satu bentuk sokongan kepada pihak Iran,” katanya dipetik Anadolu Ajansi.
Israel dan Iran telah terlibat dalam pertempuran udara sejak 13 Jun apabila Tel Aviv melancarkan serangan mengejut ke atas beberapa lokasi di seluruh Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, sehingga mendorong Tehran melancarkan serangan balas.
Sementara itu, Amerika Syarikat turut campur tangan dengan menyerang tiga kemudahan nuklear utama Iran awal pagi Ahad.
Mengulas pertemuan antara Presiden Vladimir Putin dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi di Moscow, Peskov berkata, perbincangan itu memberi peluang untuk bertukar pandangan dan membolehkan Tehran memaklumkan cadangan serta visinya kepada Moscow berhubung situasi semasa.
Beliau berkata, jumlah pihak yang terlibat dalam ketegangan semasa semakin meningkat, dan perkara itu dikecam serta sangat dikesali Rusia.
“Iran telah beberapa kali menjadi topik perbincangan antara Putin dan Trump dalam perbualan mereka baru-baru ini, namun Presiden Rusia tidak dimaklumkan mengenai serangan pada Ahad lepas.
"Kami percaya bahawa nasib kepimpinan sesebuah negara harus ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri dan sama sekali bukan oleh negara ketiga atau kepimpinan negara ketiga,” katanya.
Menurutnya lagi, serangan Amerika Syarikat ke atas Iran tidak akan menjejaskan dialog antara Moscow dan Washington kerana ia merupakan proses yang berasingan.