AUSTRALIA, 25 Mei- Pihak berkuasa Australia meningkatkan usaha pemulihan banjir di Taree, Australia selepas beberapa hari hujan lebat yang menyebabkan kawasan tersebut terputus hubungan, menghanyutkan haiwan ternakan dan memusnahkan kediaman.
Helikopter dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menghantar makanan kepada haiwan ternakan di kawasan pertanian yang terputus hubungan akibat banjir yang telah mengorbankan lima nyawa.
Pihak berkuasa menganggarkan sekurang-kurangnya 10,000 hartanah mungkin rosak akibat banjir yang berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menurut pihak polis, mangsa terkini ialah seorang lelaki berusia 80-an ditemukan maut di sebuah kawasan yang dinaiki air kira-kira 50 kilometer dari bandar Taree.
Taree terletak di sepanjang Sungai Manning, lebih 300 kilometer di utara ibu negeri Sydney.- REUTERS