(Penunjuk perasaan daripada Gabungan Gereja Kristian Botswana melaungkan slogan menentang
homoseksual pada 22 Julai 2023/AFP)
GABORONE, 22 Julai- Beratus-ratus orang turun ke jalan raya di ibu negara Botswana di sini bagi membantah undang-undang yang mahu 'menghalalkan' hubungan sejenis.
Disokong oleh kumpulan agama Kristian, penunjuk perasaan berarak ke seluruh bandar untuk menyuarakan bantahan terhadap rang undang-undang yang bertujuan untuk mematuhi keputusan mahkamah 2019 yang memihak kepada hak komuniti lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ).
Ada yang memegang papan tanda bertulis 'kami katakan tidak kepada homoseksual', 'lindungi anak-anak kami' dan 'jangan menghalalkan dosa'.
Pastor Pulafela Mabiletswane Siele dari Evangelical Fellowships of Botswana yang merupakan sebuah kumpulan Kristian berkata, rang undang-undang itu hanya akan membuka pintu maksiat dan kekejian.
"Kami menggesa parlimen untuk memilih referendum berhubung perkara ini," katanya ketika menyampaikan petisyen kepada parlimen.
Menerima petisyen bagi pihak parlimen, ahli parlimen pembangkang Wynter Mmolotsi berkata, dia dan lain-lain (ahli parlimen) akan mengambil kira pandangan gereja.
Protes itu berlaku di tengah-tengah penolakan yang lebih meluas terhadap hak LGBTQ di selatan Afrika.
Hubungan seks sejenis diharamkan di negara Afrika sejak tahun 1965 dengan pesalah boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun. -AFP
(Penunjuk perasaan daripada Gabungan Gereja Kristian Botswana memegang sepanduk sambil berarak
ke arah Parlimen Botswana pada 22 Julai 2023 membantah undang-undang
yang ingin menjadikan hubungan sesama jantina sah/AFP)