AUSTIN, 10 Jun- Penunjuk perasaan bergelut dengan pegawai polis di Austin, Texas pada Isnin ketika ratusan orang berkumpul di bandar itu untuk membantah serbuan ke atas pendatang tanpa izin di bawah pemerintahan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut laporan media tempatan, protes diadakan sebagai tanda solidariti terhadap bantahan di Los Angeles, yang tercetus akibat serbuan imigresen di kawasan selatan California.
Di Austin, polis melepaskan tembakan dan gas pemedih mata serta menahan beberapa individu selepas berlaku pergelutan dengan kumpulan penunjuk perasaan.
Penunjuk perasaan dilihat berarak di jalan-jalan, termasuk di hadapan Bangunan Capitol Negeri Texas, sambil mengangkat sepanduk dan bendera serta melaungkan slogan-slogan bantahan.
Terdahulu, Trump berikrar untuk mengusir jumlah rekod pendatang tanpa izin dan memperketatkan kawalan sempadan AS-Mexico, dengan matlamat White House meletakkan sasaran untuk Jabatan Imigresen dan Kastam menahan sekurang-kurangnya 3,000 migran setiap hari.
Namun, tindakan keras itu turut melibatkan individu yang tinggal secara sah di negara tersebut, termasuk pemegang taraf penduduk tetap, sekali gus mencetuskan cabaran daripada segi perundangan.- REUTERS