KANO, 19 Jun- Lebih 700 orang masih hilang selepas banjir kilat melanda Negeri Niger di tengah Nigeria bulan lalu.
Menurut Timbalan Gabenor Negeri Niger, Yakubu Garba, pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang, tiga minggu selepas bencana melanda bandar tersebut dan kawasan sekitarnya.
“Menurut kiraan terkini, sebanyak 207 mayat telah ditemukan selepas banjir. Banjir turut memusnahkan 400 rumah dan menyebabkan lebih 3,000 penduduk kehilangan tempat tinggal," katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, hujan lebat yang melanda bandar Mokwa, memusnahkan kediaman penduduk dan meragut lebih 200 nyawa, menurut agensi kecemasan tempatan.
Musim hujan di Nigeria, yang biasanya berlaku selama enam bulan, baru sahaja bermula untuk tahun ini.
Banjir yang sering berlaku setiap tahun akibat hujan lebat dan infrastruktur yang lemah telah meragut ratusan nyawa di seluruh negara Afrika Barat itu.
Para saintis turut memberi amaran bahawa perubahan iklim sedang memburukkan lagi corak cuaca ekstrem.
Di Nigeria, banjir diburukkan lagi oleh sistem saliran yang tidak mencukupi, pembinaan kediaman di atas laluan air, serta pembuangan sampah ke dalam longkang dan saluran air.
Agensi Meteorologi Nigeria telah memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya banjir kilat di kebanyakan kawasan negara itu sepanjang musim hujan ini.
Pada tahun 2024, lebih 300 orang terbunuh dan lebih 1 juta penduduk kehilangan tempat tinggal di sekurang-kurangnya 34 negeri di Nigeria, menjadikannya antara musim banjir paling buruk dalam sejarah negara itu, menurut Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu. – AFP