MOKWA, 2 Jun- Lebih 200 orang maut manakala ratusan lagi masih hilang selepas banjir kilat terburuk dalam sejarah Mokwa, Nigeria, memusnahkan penempatan dan meragut nyawa penduduk pada Khamis lalu.
Menurut laporan, air bertakung di landasan kereta api lama yang menjadi benteng tanah liat, namun longkang tersumbat oleh sisa menyebabkan air naik mendadak sebelum benteng itu pecah.
Aliran banjir yang deras telah memusnahkan rumah-rumah dan menyeret penduduk ke sungai Niger yang deras. Usaha mencari mangsa diteruskan dengan sukarelawan dan pasukan penyelamat menemui mayat sejauh hampir 10 kilometer dari tempat asal.
Seorang mangsa selamat, Adamu Yusuf, berkata dia kehilangan sembilan ahli keluarga termasuk isteri, anak dan ibunya. "Bila sedar di hospital, saya diberitahu semua ahli keluarga saya hanyut," katanya.
Setakat Ahad, agensi pengurusan bencana negeri mengesahkan 153 maut, tetapi penduduk mendakwa angka sebenar jauh lebih tinggi kerana masih banyak mayat belum ditemui.
Insiden itu berlaku walaupun amaran banjir kilat telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa beberapa hari sebelumnya. Nigeria sering dilanda banjir akibat sistem saliran tidak teratur dan aktiviti pembuangan sampah di laluan air.
Presiden Bola Tinubu memaklumkan operasi bantuan sedang dijalankan, namun hanya segelintir anggota keselamatan kelihatan di lokasi untuk mengawal trafik.
Ramai penduduk kini hilang tempat tinggal dan masih menunggu bantuan segera.-AFP