ALAMO, 18 Oktober - Seramai 48 individu masih dilaporkan hilang susulan banjir besar yang melanda timur Mexico, baru-baru ini.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, memaklumkan bahawa insiden tersebut turut menjejaskan lebih 100,000 kediaman.
Bencana yang telah meragut sekurang-kurangnya 72 nyawa itu berlaku minggu lalu apabila hujan lebat berterusan mencetuskan banjir dan tanah runtuh di lima negeri di tengah Mexico.
Di Alamo, penduduk dilihat memikul beg dan tilam melalui timbunan serpihan, manakala pasukan penyelamat giat memulihkan bekalan elektrik di kawasan yang masih dinaiki air.
Menurut penduduk terjejas, Lucila Merida, bencana terbabit menyebabkan beliau terputus komunikasi dengan ahli keluarga.
“Di banyak kawasan kejiranan, tiada bekalan elektrik, tiada komunikasi dan tiada cara untuk menghubungi ahli keluarga. Kami cuba mencari di sana sini, tetapi tiada isyarat, sukar untuk mencari tempat yang ada liputan," katanya di sini.
Seorang lagi penduduk terjejas, Flow Bautista berkata keadaan itu menyebabkan mereka hilang rasa malu terutama ketika untuk mendapatkan makanan.
“Di sini, anda melihat orang yang tidak pernah kita sangka akan melalui keadaan seperti ini, dan apabila berhadapan dengan situasi sebegini, mereka hilang rasa malu.
"Ini bukan lagi soal pilihan, tetapi keperluan; mereka datang ke sini untuk sebotol air, sepotong roti, atau sepinggan makanan," katanya. -REUTERS