DHAKA, 18 Oktober - Ketegangan tercetus di Dhaka pada Jumaat apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan yang membantah piagam baharu dicadangkan kerajaan sementara susulan krisis politik terbaharu Bangladesh.
Rakaman menunjukkan pasukan polis rusuhan mengejar penunjuk perasaan di jalan raya, manakala beberapa insiden vandalisme dilaporkan di seluruh bandar termasuk khemah dibakar, serpihan berselerakan dan kenderaan polis rosak dirampas oleh perusuh.
Menurut laporan media tempatan, kumpulan yang mendakwa berjaya menggulingkan kerajaan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina tahun lalu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan keras pihak berkuasa, sambil menuntut hak mereka dalam Piagam Julai dihormati.
Salah seorang penunjuk perasaan, Suraiya Akter berkata beliau menuntut agar piagam berkenaan dipinda.
"Jika tidak dipinda, keselamatan hidup kami akan terancam. Hari ini kamu lihat bagaimana saudara-saudara saya dipukul dengan belantan, diserang gas pemedih mata dan cuba dibakar.
"Mengapa ini berlaku hari ini? Kerana kami hanya menuntut keselamatan hidup dan perlindungan undang-undang yang tiada dalam Piagam Julai. Akibatnya, kami diserang begini hari ini.
"Mengapa kami datang ke hadapan bangunan Parlimen hari ini? Kami yang mengangkat kerajaan ini berkuasa," katanya di sini.
Seorang lagi mendakwa keadaan keselamatan negara gagal dipulihkan kerana pasukan polis “masih berpihak kepada Liga Awami dan beroperasi mengikut arahan Hasina.
Perhimpunan besar-besaran diadakan di seluruh bandar selepas penandatanganan piagam pembaharuan demokratik pada Jumaat menjelang pilihan raya tahun depan; pilihan raya yang tidak disertai parti Liga Awami pimpinan Hasina.
Piagam Julai setebal 28 muka surat itu mencadangkan pembaharuan terhadap perlembagaan, sistem pilihan raya, kehakiman, perkhidmatan awam, polis dan badan pencegah rasuah susulan protes berdarah tahun 2024.
Pada 5 Ogos lalu, pemimpin sementara Muhammad Yunus mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan pada Februari 2026; pilihan raya pertama sejak kebangkitan rakyat yang menggulingkan Hasina. -VIORY