SYDNEY, 22 Mei - Hujan lebat berterusan melanda timur Australia, menyebabkan banjir besar dan hampir 50,000 orang terkandas.
Seorang lelaki berusia 63 tahun ditemukan mati dalam rumah yang ditenggelami air di kawasan luar bandar Moto, kira-kira 400 kilometer timur laut Sydney.
Pihak berkuasa menggerakkan helikopter, bot dan dron bagi operasi mencari dan menyelamat selepas beberapa mangsa dilaporkan terpaksa naik ke bumbung untuk berlindung.
Dalam tempoh dua hari, kawasan di New South Wales dilanda hujan lebih daripada jumlah purata empat bulan.
Perdana Menteri Negeri, Chris Minns berkata komuniti terbabit dijangka berdepan lebih banyak berita buruk dalam tempoh 24 jam akan datang.
Di pekan Kempsey, dataran pertanian di tebing Sungai Macleay, kawasan itu dilapor digenangi banjir secara tiba-tiba.
Datuk Bandar Kinnie Ring berkata lebih 20,000 penduduk di kawasan pihak berkuasanya terkandas dan sukar mendapatkan ubat serta bekalan penting.
Beliau menyifatkan banjir ini sebagai antara yang terburuk dalam sejarah kawasan tersebut.
Pihak berkuasa turut bimbang sekurang-kurangnya tiga lagi individu dilaporkan hilang.
Sementara itu, Minns menjangka sehingga 50,000 penduduk mungkin terkandas di kawasan Mid North Coast.
Fenomena cuaca ekstrem turut dikaitkan dengan suhu laut sekitar Australia yang mencatat rekod tertinggi tahun ini.
Laut yang lebih panas menghasilkan lebih banyak wap, sekali gus menyebabkan hujan lebih lebat.-AFP