OTTAWA, 22 Mei - Kanada sedang mengadakan rundingan peringkat tertinggi dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai sistem pertahanan peluru berpandu “Golden Dome” yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, berkata pihaknya sedar mereka berupaya menyertai sistem itu dengan pelaburan bersama, dan perkara itu sedang dipertimbangkan.
Trump mahu sistem tersebut mampu mempertahankan AS daripada pelbagai jenis senjata musuh termasuk peluru berpandu balistik antara benua, peluru berpandu hipersonik, peluru berpandu jelajah dan dron.
Sistem itu dijangka siap dalam tempoh kira-kira tiga tahun, iaitu menjelang akhir penggal kedua Trump sekiranya beliau menang pilihan raya semula.
Bagaimanapun, projek itu berdepan cabaran besar dari segi teknikal dan politik.
Carney memberi amaran tentang ancaman peluru berpandu yang semakin berkembang, termasuk kemungkinan datang dari angkasa lepas dalam masa terdekat.
Beliau menegaskan kerajaan Kanada mengambil serius terhadap ancaman berkenaan.
Kanada dan Amerika Syarikat kini bekerjasama dalam pertahanan benua melalui Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara atau NORAD.
Dalam masa sama, Ottawa sedang mencari rakan dagang dan keselamatan baharu susulan hubungan Kanada-AS yang semakin renggang.
Kanada turut mengumumkan semakan semula terhadap pembelian pesawat pejuang F-35 buatan AS, dan menandatangani perjanjian dengan Australia untuk membangunkan sistem radar Artik.
Carney turut memaklumkan kerajaan sedang berbincang dengan sekutu Eropah untuk menjadi rakan penuh dalam inisiatif ReArm Europe bagi memperkukuh pertahanan dan industri ketenteraan Eropah.-AFP