BEIJING, 29 Julai – Pasukan bomba menyelamatkan puluhan penghuni rumah penjagaan yang terperangkap akibat banjir di Beijing pada Isnin.
Rakaman menunjukkan pasukan penyelamat menggunakan bot dalam operasi memindahkan mangsa, manakala beberapa bangunan dan kenderaan kelihatan tenggelam dalam arus deras.
Banjir kilat yang melanda ibu negara China itu telah meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa.
Menurut laporan media tempatan pada Selasa, hujan lebat yang dicetuskan oleh sistem tekanan subtropika telah membanjiri Beijing, menyebabkan kira-kira 80,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Sejak hujung minggu lalu, hujan lebat turut melanda beberapa wilayah di utara China termasuk Tianjin, Hebei dan Shandong timur.
Terdahulu, Presiden China Xi Jinping menggesa pihak berkuasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan terburuk serta mempercepat pemindahan penduduk di kawasan berisiko banjir. –VIORY