fb fb fb fb fb

Bangunan runtuh di China: Dua lagi mangsa ditarik keluar, berpuluh-puluh masih hilang

BEIJING, 2 Mei - Pasukan penyelamat berjaya menarik keluar sepasang lagi mangsa yang terselamat dari bangunan runtuh di tengah China, lapor media kerajaan, dua hari selepas operasi mencari dan menyelamat berpuluh-puluh orang yang dikhuatiri hilang dilancarkan.

Bangunan di bandar Changsha, wilayah Hunan yang menempatkan sebuah hotel, pangsapuri dan pawagam runtuh pada petang Jumaat, meninggalkan lubang ternganga di landskap jalan yang padat.

(Gambar udara yang diambil pada 29 April 2022 menunjukkan penyelamat bekerja selepas bangunan enam tingkat runtuh di Changsha, di wilayah Hunan tengah China/CNS/AFP)

Semalam, pihak berkuasa berkata lima orang yang terselamat telah ditarik keluar dari struktur itu. Kini terdapat 16 orang dipercayai masih terperangkap manakala hampir 40 yang lain tidak dapat dihubungi.

Lebih 50 jam dalam usaha menyelamat, orang ketujuh diselamatkan petang semalam, selepas penyelamat "mengesan tanda-tanda mangsa masih hidup"pada awal petang.

"Apabila ditemukan, dia berada dalam keadaan agak baik. Tanda-tanda vitalnya agak stabil dan dia boleh mengadakan perbualan biasa dengan penyelamat di luar," kata seorang wartawan penyiar rasmi, CCTV yang berada di tempat kejadian, sambil menambah wanita itu telah dipisahkan daripada penyelamat oleh dinding setebal satu meter.

CCTV menunjukkan rakaman ambulans membawa mangsa yang terselamat ke hospital, manakala pasukan penyelamat masih bekerja keras dengan penggali.

Seorang lagi mangsa yang terselamat telah dikeluarkan dari runtuhan awal semalam, ketika CCTV menyiarkan imej anggota bomba mengangkut seseorang yang dilitupi habuk ke dalam jeriji.

Polis Changsha berkata sembilan orang termasuk pemilik bangunan dan sepasukan pemeriksa keselamatan ditahan berhubung kemalangan itu. Mereka mendakwa juruukur telah memalsukan audit keselamatan bangunan. -AFP

Media Baharu