BANGKOK, 28 Mac- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra pada Jumaat mengarahkan Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan Bangkok sebagai kawasan darurat berikutan gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud menggegarkan ibu negara Thailand.
Paetongtarn yang kini dalam lawatan kerja ke Phuket turut memerintahkan pelaksanaan segera langkah tindak balas dan mobilisasi sumber untuk operasi bantuan gempa bumi.
Beliau menyatakan pakar meramalkan akan berlaku gegaran susulan dalam tempoh dua jam akan datang, walaupun dijangka semakin berkurangan.
"Data statistik menunjukkan gegaran susulan mungkin berterusan sehingga 24 jam. Saya menyeru orang ramai mengosongkan bangunan tinggi dan tetap tenang tetapi berwaspada. Sekolah telah dinasihatkan menghantar pelajar pulang sebagai langkah berjaga-jaga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat kecemasan di Phuket pada Jumaat.
Paetongtarn mengumumkan akan segera kembali ke Bangkok dan mempengerusikan mesyuarat kecemasan dengan semua agensi berkaitan pada pukul 5.00 petang Jumaat.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) melaporkan gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Myanmar pada pukul 1.20 tengah hari, dengan gegaran dirasai di Bangkok.
Media tempatan melaporkan sebuah bangunan dalam pembinaan di daerah Chatuchak runtuh akibat gempa bumi, dengan 43 pekerja terperangkap menurut Institut Perubatan Kecemasan Kebangsaan.
Sementara itu di Bangkok, penduduk mengosongkan bangunan dan perniagaan ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga. Pihak berkuasa sedang menilai kerosakan dan memantau gegaran susulan.
Bursa Saham Thailand menggantung semua aktiviti dagangan untuk sesi petang Jumaat.
Sistem Transit Massa Bangkok (BTS) turut mengumumkan melalui akaun X rasmi bahawa Laluan Sukhumvit, Laluan Silom dan Laluan Gold ditutup sementara dengan perkhidmatan penumpang digantung.- BERNAMA
BERITA BERKAITAN: