MYANMAR, 28 Mac- Gempa bumi kuat yang berlaku pada Jumaat telah menjadikan sebuah hospital utama di ibu negara Myanmar sebagai "kawasan kecemasan besar", manakala sekurang-kurangnya tiga orang maut dan puluhan lagi terperangkap di Thailand selepas sebuah bangunan pencakar langit runtuh.
Gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud itu melanda di barat laut bandar Sagaing, Myanmar tengah, dan diikuti beberapa minit kemudian dengan gegaran susulan berukuran 6.4 magnitud.
Ia menyebabkan bangunan runtuh, jalan rosak, dan Jambatan Ava yang terkenal juga runtuh.
Kemusnahan tersebut menyebabkan Junta Myanmar mengeluarkan permintaan yang jarang dilakukan untuk bantuan kemanusiaan antarabangsa, apabila mereka mengisytiharkan darurat di enam wilayah yang paling terjejas.
Ratusan mangsa dibawa ke hospital di ibu kota Naypyidaw, dengan mangsa yang cedera dirawat di luar hospital akibat kerosakan pada bangunan tersebut.
Pintu masuk jabatan kecemasan hospital itu runtuh dan menimpa sebuah kereta.
Seorang pegawai hospital mengarahkan wartawan supaya menjauhi kawasan terjejas itu.
"Ini adalah kawasan kecemasan besar," katanya kepada AFP.
Seorang doktor berkata pihaknya cuba mengendalikan situasi tersebut dengan sebaik mungkin.
"Saya belum pernah melihat (keadaan) seperti ini sebelum ini. Kami cuba mengendalikan situasi ini. Saya sangat penat sekarang," katanya.- AFP
BERITA BERKAITAN: