fb fb fb fb fb

10 terbunuh dalam gempa bumi kuat di Myanmar

Foto AFP

YANGON, 28 Mac- Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh apabila sebuah masjid runtuh di Mandalay susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada Jumaat, lapor Xinhua memetik media tempatan Khit Thit.

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 menggegarkan kawasan 16 kilometer (km) di utara barat laut Sagaing, Myanmar awal hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pusat gempa yang berada pada kedalaman 10.0 km, pada mulanya ditentukan pada 22.01 darjah latitud utara dan 95.92 darjah longitud timur.

Gempa itu menyebabkan "kerosakan besar" kepada beberapa bangunan, termasuk tembok kubu Istana Mandalay.

Beberapa struktur di Wilayah Mandalay mengalami keruntuhan manakala beberapa jalan yang menghubungkan Mandalay dan Yangon turut rosak atau terhalang, mengganggu pergerakan pengangkutan.

Wartawan Xinhua di Yangon melaporkan gegaran kuat turut dirasai di ibu negara Nay Pyi Taw dan bandar terbesar, Yangon. Beberapa sekolah dan bangunan pejabat di Nay Pyi Taw dilaporkan runtuh.

Jabatan Bomba Myanmar memaklumkan operasi menyelamat telah dijalankan sebagai tindak balas terhadap gempa bumi.

Berikutan gempa bumi itu, wartawan Xinhua di Vientiane ibu negara Laos; Bangkok, ibu negara Thailand dan Hanoi, ibu negara Vietnam melaporkan gegaran kuat turut dirasai di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengisytiharkan darurat di Bangkok.

Sebuah bangunan 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di ibu negara Thailand, mengakibatkan seorang maut dan menyebabkan 43 yang lain hilang.

Di Vientiane, bangunan melebihi tiga tingkat mengalami gegaran yang ketara, dengan penduduk di bangunan tinggi merasakan kediaman mereka bergoyang dengan kuat.

Di Hanoi dan Ho Chi Minh City, penduduk yang menetap di bangunan tinggi turut merasai gegaran yang ketara ketika berada di rumah.- BERNAMA-XINHUA

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM