PORT-AU-PRINCE, 4 Mac- Sekurang-kurangnya 12 maut selepas kumpulan kongsi gelap menyerang penjara utama di ibu negara Haiti, mengakibatkan ribuan banduan melarikan diri, menurut wartawan AFP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kami menemukan banyak mayat banduan," kata Pierre Esperance daripada Rangkaian Kebangsaan bagi Mempertahankan Hak Asasi.
Tambah beliau, hanya kira-kira 100 daripada sekitar 3,800 banduan Penjara Kebangsaan itu masih berada di dalam fasiliti berkenaan selepas serangan lewat Sabtu lalu.
Haiti telah beberapa dekad lalu bergelumang dengan kemiskinan tegar, keganasan, ketidakstabilan politik dan bencana alam tetapi menjadi lebih huru-hara susulan pembunuhan presidennya, Jovenel Moise, pada 2021.
Kumpulan kongsi gelap yang berpengaruh dan bersenjata lengkap mengawal serta menguasai sebahagian besar ibu negara, Port-au-Prince.
Wartawan AFP yang melawat penjara berkenaan semalam mengesahkan kira-kira 12 mayat masih berada dalam kawasan penjara, pada sesetengahnya terdapat luka kesan tembakan atau senjata lain.
Wartawan itu yang turut memasuki bangunan penjara, berkata pintu pagarnya terbuka dan 'hampir tiada orang' di dalamnya.
Kerajan Haiti, dalam kenyataan, berkata pihak polis cuba mematahkan serangan kumpulan kongsi gelap itu terhadap penjara terbabit dan satu lagi penjara dipanggil Croix des Bouquets.
Katanya, serangan tersebut menyebabkan 'beberapa mangsa cedera' dalam kalangan kakitangan penjara dan banduan.
Esperance berkata belum dapat dipastikan berapa ramai banduan lari dari penjara kedua.
Kumpulan kongsi gelap yang mahu menggulingkan Perdana Menteri, Ariel Henry, menimbulkan kekecohan di Port-au-Prince sejak Khamis lalu.
Henry berada di Kenya pada Jumaat, bagi meraih bantuan untuk misi sokongan polis antarabangsa, yang mana Nairobi setuju untuk menerajuinya. - AFP