CHIANG MAI, 24 Disember- Harimau bengal memiliki warna yang jarang ditemui iaitu seakan keemasan mencuri tumpuan pengguna media sosial selepas mempamerkan aksi bersahaja di sebuah zoo utara Thailand.
Jurulatih harimau di Safari Malam Chiang Mai, Patcharee Pipatwongchai berkata, Ava dan Luna dilahirkan di pusat pembiakan haiwan.
Kedua-duanya kini berusia tiga tahun dan dipamerkan buat pertama kali di zoo pada Jun. Kedua-duanya menjadi tumpuan selepas ia tular di platform media sosial.
Ava dan Luna menarik perhatian orang ramai di ruangan arena zoo berkenaan yang mampu menempatkan kira-kira 500 penonton menerusi pertunjukan empat hari seminggu.
Sebelum melakukan persembahan secara terbuka kepada penonton, kedua-duanya melakukan latihan bersama jurulatih.
"Melihat harimau ini, saya rasa ia sangat pintar dan mampu memberikan persembahan yang mengejutkan. Saya gembira Chiang Mai mempunyai haiwan bijak sebagai tarikan utama," kata pengunjung Wirunya Punyokit dari Chiang Mai.
Menurut laman web Taman Negara Thai warna yang dimiliki anak harimau berkenaan adalah disebabkan pigmentasi jarang yang terhasil daripada gen resesif. Ia menyebabkan kedua-duanya memiliki bulu berwarna keemasan pucat selain jalur oren samar.
Sebelum ini, sebuah lagi zoo Thai di selatan ibu kota Bangkok turut menarik ribuan pengunjung menerusi aksi comel seekor anak badak air bernama Moo Deng.- REUTERS