fb fb fb fb fb

Palang Merah mohon dana AS$145 juta, bantu rakyat Syria

Foto AFP

GENEVA, 24 Disember- Palang Merah memohon dana sebanyak AS$145 juta untuk membantu jutaan rakyat Syria pulang ke rumah dan kawasan kejiranan yang musnah selepas kejatuhan pemimpin, Bashar al-Assad.

Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menyatakan bahawa dana itu akan digunakan untuk penjagaan kesihatan kritikal, bekalan makanan, tempat tinggal, bantuan tunai, sokongan psikologi, dan membantu mencari waris yang hilang sepanjang 13 tahun konflik di Syria.

Dana berkenaan akan disalurkan kepada Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) untuk menyampaikan bantuan penting kepada komuniti di seluruh negara.

Menurut Pengarah Wilayah IFRC, Hossam Elsharkawi, bantuan yang disasarkan itu untuk menyokong aktiviti SARC selama sekurang-kurangnya setahun, dijangka membantu kira-kira lima juta orang.

"Tumpuan kami sekarang adalah menyokong keperluan yang menyelamatkan nyawa penduduk.

"Pasukan SARC menyediakan rawatan kritikal melalui ambulans, klinik bergerak dan pusat kesihatan, serta mengedarkan bekalan asas seperti makanan dan air.

"Bandar dan kampung telah musnah sepenuhnya dalam lebih sedekad permusuhan," katanya. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM