SEOUL, 24 Disember- Lebih 1,000 askar Korea Utara dilaporkan terbunuh dan cedera dalam konflik Rusia-Ukraine, menurut Korea Selatan.
Ketua Staf Bersama Korea Selatan (JCS) berkata, Pyongyang telah menghantar ribuan tentera untuk memperkuatkan angkatan tentera Rusia, termasuk di wilayah sempadan Kursk, di mana pasukan Ukraine telah merampas kawasan itu awal tahun ini.
"Kami menilai bahawa sekitar 1,100 askar Korea Utara terkorban baru-baru ini dalam pertempuran dengan pasukan Ukraine. Ia berdasarkan pelbagai sumber maklumat dan risikan," katanya menerusi kenyataan.
Angka itu diberikan susulan laporan agensi risikan Seoul kepada ahli Parlimen minggu lalu yang menyatakan sekurang-kurangnya 100 askar Korea Utara terbunuh sejak memasuki medan perang pada Disember.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberikan anggaran yang jauh lebih tinggi mengenai kematian tentera Korea Utara.
"Mengikut data awal, jumlah askar Korea Utara yang terbunuh dan cedera di wilayah Kursk telah melebihi 3,000 orang," katanya di X.
Zelensky memberi amaran mengenai risiko Korea Utara yang menghantar lebih ramai tentera dan peralatan ketenteraan ke Rusia.
Menurut JCS, Pyongyang dilaporkan sedang bersiap untuk penggiliran atau penempatan tambahan tentera untuk membantu Rusia.
Risikan Seoul juga menunjukkan Korea Utara sedang menghasilkan dan membekalkan dron pemusnah diri kepada Rusia, selain membekalkan roket serta artileri bergerak. - AFP