CANBERRA, 13 Februari - Menteri Perdagangan Australia, Don Farrell, menegaskan bahawa negaranya telah memenuhi semua kewajipannya dalam membekalkan aluminium kepada Amerika Syarikat (AS).
Ia sekali gus mengatasi halangan terhadap permintaan Canberra untuk pengecualian tarif aluminium dan keluli daripada Washington.
Presiden AS Donald Trump, awal minggu ini menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkan pengecualian tarif 25% ke atas import keluli dan aluminium dari Australia.
Bagaimanapun, salah seorang penasihat rapatnya kemudian mendakwa bahawa Australia telah "merosakkan pasaran aluminium" negara itu.
Menurut perintah eksekutif yang mengenakan tarif tersebut, jumlah aluminium dari Australia meningkat secara mendadak selepas negara itu diberikan pengecualian tarif oleh Trump pada 2018.
Washington mendakwa Australia mengabaikan komitmen lisan untuk mengehadkan bekalan aluminium.
Namun, Farrell menegaskan bahawa peningkatan eksport aluminium Australia ke AS dilakukan dengan restu pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini, susulan gangguan bekalan dari Rusia akibat peperangan berterusan dengan Ukraine.
Australia, yang merupakan pengeluar aluminium keenam terbesar dunia, hanya menyumbang 1% daripada jumlah import keluli dan 2% daripada jumlah import aluminium Amerika Syarikat. - REUTERS