JAKARTA, 5 Disember-Anggota blok serantau Asia Tenggara, ASEAN, merancang untuk mengadakan mesyuarat menteri di Thailand akhir bulan ini bagi membincangkan krisis di negara anggota, Myanmar.
Perkara itu disahkan oleh jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Roy Soemirat, kepada pemberita pada Khamis.
Mesyuarat yang diadakan atas jemputan Laos, selaku pengerusi semasa ASEAN, akan meneliti pendekatan terhadap krisis yang melanda Myanmar sejak rampasan kuasa oleh pihak tentera pada 2021.
Perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan konsensus lima perkara ASEAN, katanya.
Pelan konsensus yang diperkenalkan pada April 2021, hanya beberapa bulan selepas tentera Myanmar menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat, dilihat masih belum menunjukkan kemajuan ketara.
Junta tentera Myanmar terus berdepan pemberontakan yang tercetus selepas rampasan kuasa tersebut dan tidak mengendahkan gesaan anggota ASEAN untuk menghentikan keganasan serta memulakan dialog dengan pihak penentang.
Pada sidang kemuncak ASEAN Oktober lalu, blok itu menyeru agar "keganasan dihentikan serta-merta dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk penyampaian bantuan kemanusiaan serta dialog nasional inklusif yang dimiliki dan diketuai oleh rakyat Myanmar sendiri.-REUTERS
Mesyuarat menteri ini dijadualkan bermula pada 20 Disember, menurut Roy, dengan Menteri Luar Indonesia turut dijangka hadir.-REUTERS