fb fb fb fb fb

AS umum bantuan ketenteraan baharu untuk Ukraine, bernilai AS$250 juta

FOTO AFP

WASHINGTON, 30 Ogos- Amerika Syarikat mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai AS$250 juta untuk Ukraine pada Selasa yang merangkumi peralatan untuk membersihkan periuk api dan halangan.

Tentera Kiev sedang bergelut untuk membuat kejayaan besar dalam serangan balas yang dilancarkan pada awal musim panas ini, menghadapi pertahanan Rusia yang sukar termasuk medan periuk api, parit dan halangan kereta kebal.

"Bantuan itu akan membantu Ukraine menentang perang pencerobohan berterusan Rusia di medan perang dan melindungi rakyatnya," kata Pentagon dalam satu kenyataan.

Pakej itu termasuklah peluru berpandu pertahanan udara, peluru artileri, peluru berpandu anti-perisai dan lebih tiga juta butir peluru senjata kecil.

Amerika Syarikat menerajui desakan sokongan antarabangsa untuk Ukraine, dengan cepat membentuk gabungan antarabangsa untuk menyokong Kiev selepas Rusia menyerang pada Februari 2022 dan menyelaraskan bantuan daripada berpuluh-puluh negara.

Washington komited untuk memberikan bantuan ketenteraan berpuluh bilion dolar kepada Kiev sejak pencerobohan Rusia bermula.

“Saya berterima kasih kepada semua rakyat Amerika, Kongres dan secara peribadi kepada Presiden Joe Biden atas pakej pertahanan baharu."

"Kebebasan memerlukan perlindungan dan perlindungan ini semakin kuat,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyiarkan di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.- AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu