WASHINGTON, 22 Mei - Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio pada Rabu menyuarakan keyakinan terhadap kemungkinan penyelesaian yang dapat menamatkan perang di Gaza dalam masa terdekat, sambil menekankan usaha berterusan bagi membebaskan tebusan serta menyalurkan bantuan kemanusiaan.
“Saya mempunyai tahap keyakinan tertentu bahawa kita mungkin akan menyaksikan kejayaan penting di sini dalam masa terdekat, mudah-mudahan melibatkan penamatan konflik ini dan pembebasan semua tebusan,” katanya semasa memberi keterangan dalam satu sesi pendengaran di Kongres.
Bagaimanapun, Rubio mengakui bahawa beliau pernah membuat ramalan serupa sebelum ini dan enggan terlalu yakin berikutan beberapa kali rundingan terdahulu gagal mencapai hasil yang diharapkan.
“Saya sudah merasakan perkara yang sama sekurang-kurangnya empat kali dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dan atas satu sebab atau yang lain, pada saat-saat akhir ia tidak menjadi kenyataan,” katanya.
“Saya tidak mahu kecewa sekali lagi, tetapi saya ingin anda tahu bahawa masih ada usaha yang sedang dijalankan – baik dari segi menyediakan lebih banyak bantuan kemanusiaan mahupun membawa kepada penamatan konflik ini,” tambah beliau.
Konflik di Gaza yang berlarutan sejak Oktober tahun lalu terus mengundang kebimbangan masyarakat antarabangsa, dengan gesaan berterusan terhadap penyelesaian diplomatik dan langkah kemanusiaan yang segera.-AFP