WASHINGTON, 22 Mei – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa rundingan yang diketuai Washington telah membantu menyelesaikan konflik antara Republik Demokratik Congo (DRC) dan Rwanda, dalam satu pertemuan bersama Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa di White House pada Rabu.
Massad Boulos, penasihat kanan Trump bagi hal ehwal Afrika yang turut hadir dalam pertemuan tersebut memaklumkan proses memuktamadkan draf perjanjian damai kini berada pada tahap yang “sangat positif”.
Menurut laporan Reuters yang memetik tiga sumber diplomatik, salah satu hasil utama perjanjian damai yang sedang dirundingkan ialah kemungkinan pengesahan eksport sah mineral dari DRC termasuk tungsten, tantalum dan tim ke Rwanda untuk diproses.
Mineral-mineral ini sebelum ini didakwa dieksploitasi dan diseludup secara haram oleh Rwanda dari wilayah timur Congo.
Kinshasa melihat aktiviti penjarahan sumber mineralnya sebagai pencetus utama konflik yang telah berlarutan sejak sekian lama antara tenteranya dan kumpulan pemberontak M23 yang didakwa mendapat sokongan Rwanda.
Ia turut menuduh Kigali menyeludup masuk mineral bernilai puluhan juta dolar ke wilayahnya setiap bulan untuk dijual semula di pasaran antarabangsa.
Washington kini mendesak agar perjanjian damai dapat dimeterai antara kedua-dua negara menjelang musim panas ini.
Rundingan tersebut turut melibatkan perjanjian berkaitan eksport dan pemprosesan mineral, yang menurut Boulos dijangka mampu menarik pelaburan berbilion dolar dari negara-negara Barat ke rantau itu.
“Untuk Rwanda, rundingan ini membuka peluang aliran tunai yang besar dan membantu membersihkan sektor ekonomi yang selama ini bergantung kepada kegiatan tidak sah,” kata Boulos.
Amerika Syarikat pula dilihat berusaha untuk memperkukuh pengaruhnya di rantau tersebut dengan memperluas akses kepada sumber mineral strategik DRC yang selama ini banyak dikuasai oleh China.-REUTERS