fb fb fb fb fb

AS nyata kebimbangan kerjasama satelit Rusia-Korea Utara

(Presiden Vladimir Putin (kanan) berjabat tangan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un (kiri)/AFP)

WASHINGTON, 14 September- Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama ketenteraan baharu antara Rusia dengan Korea Utara selepas pemimpin kedua-dua negara bertemu.

Kerjasama yang diumumkan semasa lawatan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un ke timur jauh Rusia adalah "agak membimbangkan dan berpotensi melanggar beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB," kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller kepada pemberita.

Beliau menyatakan kebimbangan AS bahawa satelit Korea Utara, telah digunakan untuk membangunkan peluru berpandu balistik Pyongyang.

Amerika Syarikat "tidak akan teragak-agak" untuk mengenakan sekatan jika perlu, kata Miller.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby secara berasingan berkata: "Sebarang pengaturan yang akan meningkatkan keupayaan ketenteraan Korea Utara pastinya membimbangkan."

Setiausaha Negara Antony Blinken pula berkata bahawa pergantungan Rusia pada Korea Utara dan Iran menunjukkan keadaannya yang teruk ketika ia melancarkan perang di Ukraine.

Duta Rusia ke Amerika Syarikat, Anatoly Antonov menyelar tindak balas Washington terhadap sidang kemuncak Putin-Kim.

"AS tidak mempunyai hak untuk mengajar kami cara hidup," katanya dalam komen yang disiarkan di Telegram kedutaan.

"Tipu daya Washington sama sekali bukan perkara baharu: rakyat Amerika boleh membekalkan senjata ke kawasan panas iaitu, Ukraine -- tetapi kerjasama teknikal ketenteraan Rusia dengan negara asing, mengikut logik pentadbiran, adalah haram," tegas beliau. -AFP

(Presiden Vladimir Putin (kanan) dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un (kiri)/REUTERS)

 

Media Baharu