WASHINGTON, 10 November- Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan vaksin pertama di dunia untuk virus chikungunya iaitu penyakit bawaan nyamuk.
Vaksin tersebut dibangunkan oleh syarikat Valneva dari Eropah dan akan dipasarkan di bawah nama "Ixchiq" serta diluluskan untuk individu berumur 18 tahun ke atas.
Dua ujian klinikal dijalankan di Amerika Utara ke atas 3,500 orang dengan kesan sampingan seperti sakit kepala, keletihan, sakit otot, sakit sendi, demam dan loya.
Reaksi serius dilaporkan dalam 1.6 peratus penerima "Ixchiq" dalam ujian itu dengan dua penerima memerlukan kemasukan ke hospital.
Chikungunya menyebabkan demam dan sakit sendi yang teruk, biasanya berlaku di kawasan tropika dan subtropika Afrika, Asia Tenggara serta sebahagian benua Amerika.
"Bagaimanapun, virus chikungunya telah merebak ke kawasan geografi baharu menyebabkan peningkatan kelaziman global penyakit itu," menurut FDA.
FDA melaporkan, lebih lima juta kes chikungunya direkod dalam tempoh 15 tahun lalu.
Chikungunya mula dikenal pasti di Tanzania pada 1952 dan kini telah direkodkan di lebih 110 negara, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). -AFP