WASHINGTON, 22 Mac- Komando Pusat AS (CENTCOM) telah melaksanakan misi menggugurkan bantuan kemanusiaan ke utara Gaza pada Khamis bagi membantu orang awam yang terjejas akibat konflik antara Israel dan Hamas, lapor Agensi Anadolu.
Menerusi hantaran di X, CENTCOM berkata operasi bersama itu melibatkan dua pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) C-17 dan Tentera Darat Amerika Syarikat.
Menurut CENTCOM, pesawat C-17 menggugurkan lebih 50,600 makanan ke utara Gaza.
“Semasa misi hari ini, daripada 80 bungkusan yang dihantar, payung terjun pada lima bungkusan bantuan tidak terbuka selepas ia digugurkan dari pesawat.
"Lima bungkusan ini mendarat di kawasan tidak berpenghuni dan tidak menyebabkan kerosakan. Komando Pusat AS terus memantau keadaan," katanya.
CENTCOM berkata penghantaran bantuan menggunakan payung terjun oleh Jabatan Pertahanan (DoD) menyumbang kepada usaha kerajaan AS dan rakan kongsi untuk meringankan penderitaan mangsa konflik.
Sejak 7 Okt lepas, hampir 32,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh di Gaza manakala hampir 74,200 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel.- BERNAMA-ANADOLU