WASHINGTON, 6 Ogos - Amerika Syarikat (AS) semalam mengecam China kerana memutuskan kerjasama dua hala dalam beberapa bidang utama, selain berkata Beijing boleh meredakan ketegangan berhubung Taiwan dengan menamatkan latihan ketenteraannya yang 'provokatif'.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby berkata keputusan China untuk menghentikan pembabitannya dalam perubahan iklim dan isu lain secara asasnya tidak bertanggungjawab.
"Mereka fikir mereka menghukum kami dengan menutup saluran ini.
"Mereka sebenarnya menghukum seluruh dunia kerana krisis iklim tidak mengira sempadan geografi. Ia adalah krisis global yang benar dan berlaku," katanya kepada pemberita.
China menamatkan kerjasama dengan AS dalam beberapa isu utama termasuk perubahan iklim, usaha antidadah dan rundingan ketenteraan, ketika hubungan antara dua kuasa besar itu meruncing berhubung Taiwan.
Beijing bertindak balas dengan kemarahan, susulan lawatan Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi ke Taiwan, yang didakwa China sebagai wilayahnya dan berikrar untuk merebut semula wilayah itu dengan kekerasan, jika perlu.
Sejak Khamis lalu, China menjalankan siri latihan ketenteraan berskala besar di sekitar Taiwan, yang menerima kutukan AS dan sekutu Barat lain.-AFP