fb fb fb fb fb

AS import telur Turkiye dan Korea Selatan untuk atasi krisis bekalan

Telur dipamerkan di sebuah pasar raya di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat / Foto REUTERS

WASHINGTON, 30 Mac-Amerika Syarikat (AS) telah mula mengimport telur dari Turkiye dan Korea Selatan bagi mengatasi kekurangan bekalan akibat wabak selesema burung yang menyebabkan harga telur melonjak di seluruh negara, menurut Setiausaha Pertanian AS, Brooke Rollins, pada Jumaat.

Rollins memberitahu media di sini bahawa import dari kedua-dua negara telah bermula, dan pentadbiran Presiden Donald Trump juga sedang berunding dengan negara lain untuk sementara waktu mendapatkan bekalan telur mereka.

"Kami bercakap mengenai ratusan juta biji telur untuk jangka masa pendek," katanya.

Harga telur meningkat mendadak akibat wabak selesema burung di AS, memaksa penternak memusnahkan sekurang-kurangnya 30 juta ekor ayam dan menyebabkan bekalan terhad.

Isu harga telur menjadi salah satu topik utama dalam kempen pilihan raya presiden Trump tahun lalu, dengan beliau menggunakan kenaikan harga barangan asas sebagai serangan terhadap pentadbiran sebelumnya di bawah Joe Biden.

Selepas kembali ke jawatan presiden pada Januari, Trump mengarahkan Rollins untuk meningkatkan bekalan telur dan menurunkan harga.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pengeluar di beberapa negara melaporkan minat AS terhadap produk mereka.

Persatuan Unggas Poland dan Lithuania memaklumkan kepada AFP bahawa mereka telah dihubungi oleh pegawai diplomatik AS yang mencari sumber bekalan telur segar.

"Terdapat kekurangan telur di banyak negara," kata Pengarah Dewan Unggas dan Pengeluar Makanan Poland, Katarzyna Gawronska.

"Persoalan utama adalah syarat kewangan yang akan ditawarkan oleh pihak Amerika."

Jabatan Pertanian AS (USDA) baru-baru ini melaporkan bahawa harga borong telur telah menurun hampir 50% sejak akhir Februari, yang menunjukkan harga pengguna mungkin mula turun tidak lama lagi.

"Trend penurunan ini menekankan keberkesanan pendekatan USDA," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Bercakap kepada media pada Jumaat, Rollins berkata import telur akan dihentikan sebaik sahaja penternak ayam di AS dapat meningkatkan pengeluaran semula.

"Apabila populasi ayam kembali stabil dan industri telur kembali beroperasi sepenuhnya diharapkan dalam beberapa bulan, kita akan kembali bergantung kepada pengeluaran dalaman dan mengedarkan telur ke pasaran tempatan," katanya.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD