fb fb fb fb fb

AS desak siasat pembunuhan dua pemimpin pembangkang Mozambique

Foto REUTERS

WASHINGTON 22 Oktober-Amerika Syarikat pada Isnin mengecam pembunuhan dua tokoh pembangkang Mozambique oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada hujung minggu lalu, susulan protes terhadap keputusan pilihan raya yang dipertikaikan.

Washington turut menggesa agar siasatan segera dan menyeluruh dijalankan" ke atas insiden pembunuhan tersebut.

Amerika Syarikat, merupakan pendana terbesar kepada Mozambique, menyumbang lebih daripada AS$560 juta bantuan setiap tahun, menurut laman web Jabatan Negara AS.

Washington turut bergabung dengan Kesatuan Eropah dan bekas penjajah Mozambique, Portugal, dalam mengecam pembunuhan peguam pembangkang Elvino Dias dan pegawai parti pembangkang, Paulo Guambe, selepas beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kereta yang dinaiki mereka pada Sabtu.

"Amerika Syarikat mengutuk pembunuhan peguam Elvino Dias dan calon parlimen Podemos, Paulo Guambe, di Mozambique," kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.

"Kami menyertai gesaan keempat-empat parti politik nasional Mozambique agar siasatan segera dan menyeluruh dijalankan."

Polis Mozambique pada Isnin melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah ke arah penunjuk perasaan di ibu kota Maputo, yang berhimpun di tempat kejadian di mana dua tokoh pembangkang itu ditembak mati pada Sabtu selepas keputusan pilihan raya dipertikaikan.

Keputusan penuh pilihan raya kebangsaan Mozambique yang diadakan pada 9 Oktober dijangka diumumkan minggu ini, dengan keputusan awal menunjukkan parti pemerintah, Frelimo,berkemungkinan menang semula. Calon pembangkang mendakwa pilihan raya tersebut telah diatur dan bersifat berat sebelah.

Frelimo telah memerintah negara di selatan Afrika itu sejak tahun 1975 dan sering dituduh melakukan penipuan pilihan raya oleh pemimpin pembangkang, masyarakat sivil dan pemerhati pilihan raya. Namun, Frelimo menafikan semua dakwaan tersebut.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD