fb fb fb fb fb

Korea Utara jalankan dua ujian ICBM terbaru lebih berkuasa - AS

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 11 Mac- Dua ujian peluru berpandu terbaru oleh Korea Utara baru-baru ini adalah sistem peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Kenyataan itu dikeluarkan Pentagon, menunjukkan berlaku ‘peningkatan serius’ yang bakal disusuli tindakan sekatan baharu.

Menurut laporan dari Korea Utara, ujian yang dilakukan pada 26 Februari dan 4 Mac lalu tertumpu kepada pembangunan satelit peninjau.

Namun menurut Pentagon, analisis terperinci menyimpulkan ujian itu sebenarnya pelopor kepada percubaan untuk pelancaran ICBM jarak penuh.

Sebarang pelancaran seumpama itu menandakan berakhirnya moratorium ujian senjata yang diputuskan sendiri oleh Pyongyang sejak 2017, seterusnya menyebabkan ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea dan di rantau luar.

Setakat ini, Korea Utara telah menjalankan tiga ujian ICBM, kali terakhir pada November 2017 iaitu Hwasong-15; dianggap sistem senjata yang mampu sampai ke Washington dan seluruh benua Amerika Syarikat.

Jurucakap Pentagon, John Kirby berkata dua ujian terbaru itu, turut melibatkan sistem peluru berpandu balistik antara benua yang Pyongyang pamerkan semasa perarakan tentera pada Oktober 2020.

Sebelum ujian ICBM pada 2017, Korea Utara telah menjalankan satu siri pelancaran roket berkuasa tinggi menunjukkan antara perluasan program ruang angkasa Pyongyang.


(Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un (tengah) sedang memerika pusat
Pentadbiran Pembangunan Aeroangkasa Kebangsaan Korea Utara di Pyongyang/AFP

Ketika ini, Korea Utara telah dikenakan sekatan antarabangsa atas tindakan meneruskan program pembangunan peluru berpandu dan senjata nuklear.

Namun pegawai kanan AS menyifatkan ujian terbaharu sebagai, ‘peningkatan serius’ dan Perbendaharaan akan mengumumkan langkah terbaru hari ini bagi menghalang Pyongyang mengakses "barangan dari luar dan teknologi" dalam memajukan program tersebut.

Menurut Kirby Washington “kekal komited kepada pendekatan diplomasi” tetapi “akan mengambil semua langkah perlu bagi memastikan keselamatan negara dan sekutu kami.”

Sementara itu di Tokyo, kementerian pertahanan menyatakan, pihaknya telah mencapai kesimpulan sama seperti Washington dan menambah ujian pada Februari telah mencecah ketinggian sehingga 600 kilometer dengan jarak sejauh 300km, manakala pelancaran pada bulan Mac mencapai ketinggian sehingga 550 kilometer dengan jarak kira-kira 30 kilometer.

Tokyo menyifatkan ujian itu, “satu ancaman kepada keselamatan dan keamanan yang tidak lagi boleh diterima. -AFP

Media Baharu