WASHINGTON, 24 Februari - Seorang pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS) di Korea Utara mengadakan panggilan video minggu ini dengan utusan China mengenai hal ehwal semenanjung Korea dimana perbincangan menjurus kepada kerjasama ketenteraan yang semakin meningkat antara Moscow dan Pyongyang, kata Jabatan Negara, pada Jumaat.
Pegawai kanan AS untuk Korea Utara, Jung Pak dan rakan sejawatannya dari China, Liu Xiaoming turut membincangkan cara menangani "tingkah laku Korea Utara yang semakin tidak stabil dan semakin meningkat," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Kerjasama ketenteraan yang semakin meningkat antara Rusia dan Korea Utara turut dilihat "melanggar pelbagai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)."
Kenyataan Kementerian Luar China berkata ia adalah "demi kepentingan bersama rantau ini dan masyarakat antarabangsa untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea dan meneruskan proses penyelesaian politik... ."
"Pihak berkenaan harus...menangani kebimbangan satu sama lain secara seimbang melalui dialog yang bermakna," dan menyatakan China dan AS telah bersetuju untuk mengekalkan hubungan berhubung isu tersebut.
Kenyataan China itu tidak menyebut tentang Rusia, yang telah lama menjadi pihak dalam sekatan PBB ke atas Korea Utara berhubung program peluru berpandu balistik dan senjata nuklear negara itu, namun telah meningkatkan hubungan dengan Pyongyang sejak menyerang Ukraine pada 2022.
Washington menuduh Korea Utara membekalkan Rusia dengan peluru artileri dan peluru berpandu yang digunakan di Ukraine.
Moscow dan Pyongyang menafikan perkara itu namun telah berikrar untuk mengeratkan hubungan ketenteraan.
Kenyataan AS itu menyebut, panggilan dengan China itu susulan pertemuan 16 Februari antara Setiausaha Negara, Antony Blinken dan Menteri Luar China, Wang Yi di mana mereka “menegaskan kepentingan komunikasi berterusan mengenai isu Korea Utara di semua peringkat.”
Hubungan China-AS telah menunjukkan tanda-tanda peningkatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan langkah-langkah telah diambil untuk mewujudkan semula saluran komunikasi selepas hubungan merosot ke tahap terendah dalam beberapa dekad.
Namun, masih banyak perkara yang menjadi perbalahan, termasuk sekatan AS ke atas China atas isu keselamatan dan hak asasi manusia.
Wang memberitahu Blinken bahawa perkara itu harus dibatalkan.
Jurucakap kedutaan China di Washington, Liu Pengyu menggelar sekatan terbaru terhadap firma China sebagai "langkah biasa paksaan ekonomi, unilateralisme dan buli."-REUTERS