fb fb fb fb fb

AS beli enam pesawat Boeing tingkatkan operasi pengusiran

Foto AFP

WASHINGTON, 11 Disember – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) membeli satu fleet baharu pesawat Boeing bagi menyokong usaha pengusiran besar-besaran pentadbiran Presiden Donald Trump, menurut jurucakap jabatan itu pada Rabu.

Jurucakap DHS, Tricia McLaughlin, berkata pesawat baharu itu akan meningkatkan kecekapan operasi imigresen.

“Pesawat ini membolehkan ICE beroperasi dengan lebih efektif, termasuk melalui corak penerbangan yang lebih efisien,” katanya dalam satu hantaran di platform X, merujuk kepada agensi Immigration and Customs Enforcement (ICE).

Beliau turut mendakwa inisiatif itu akan menjimatkan AS sebanyak USD 279 juta, sebagai respons kepada laporan Washington Post mengenai kontrak pembelian tersebut.

Boeing enggan mengulas ketika dihubungi AFP.

Washington Post melaporkan bahawa kontrak bernilai hampir USD 140 juta bagi enam pesawat Boeing 737 itu bukan dibuat secara langsung dengan pengeluar berkenaan, sebaliknya melalui syarikat Daedalus Aviation, yang dilaporkan baru ditubuhkan pada awal 2024.

Trump menjadikan pencegahan imigresen tanpa izin serta pengusiran pendatang tidak berdokumen sebagai salah satu agenda utama penggal keduanya.

Pentadbirannya telah mengambil pelbagai tindakan untuk mempercepatkan proses deportasi dan mengurangkan jumlah kemasukan di sempadan.

Menurut kumpulan hak asasi Human Rights First, lebih 1,700 penerbangan deportasi telah dihantar ke puluhan negara sejak Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu.

Namun tindakan keras terhadap imigresen itu telah mencetuskan kritikan besar, termasuk cabaran undang-undang dan protes di beberapa bandar yang dipimpin Demokrat.

Operasi penguatkuasaan sering melibatkan serbuan oleh pegawai bersenjata dan bertopeng.

Menurut pentadbiran Trump, sejak Januari lebih dua juta pendatang tanpa dokumen telah meninggalkan AS.

Dengan 1.6 juta secara sukarela, manakala selebihnya telah diusir melalui operasi pengusiran.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI