WASHINGTON, 5 Februari- Presiden Donald Trump berikrar bahawa Amerika Syarikat akan mengambil alih Gaza yang musnah akibat peperangan selepas rakyat Palestin dipindahkan ke tempat lain dan membangunkannya semula secara ekonomi.
Ikrar tersebut dilihat sebagai satu langkah yang akan memusnahkan dasar AS terhadap konflik Israel-Palestin sejak beberapa dekad lalu.
Trump mendedahkan rancangannya secara mengejut tanpa butiran terperinci dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang sedang melawat AS.
Pengumuman itu dibuat selepas cadangan mengejut Trump pada awal Selasa untuk menempatkan semula rakyat Palestin dari Gaza ke negara jiran secara kekal, dengan menyifatkan wilayah itu sebagai "tapak runtuhan."
"AS akan mengambil alih Gaza, dan kami akan menjalankan tugas kami di sana juga," kata Trump kepada wartawan.
"Kami akan memilikinya dan bertanggungjawab untuk membersihkan semua bom yang tidak meletup dan senjata lain yang berbahaya di kawasan itu."
"Jika perlu, kami akan melakukannya, kami akan mengambil alih tempat itu, serta membangunkannya, mewujudkan beribu-ribu pekerjaan. Dan ia akan menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan oleh seluruh Asia Barat," tambahnya.
Apabila ditanya siapa yang akan tinggal di Gaza, Trump berkata ia boleh menjadi tempat tinggal kepada "semua orang dari seluruh dunia."
Netanyahu memuji idea Trump sebagai "pemikiran di luar kotak" dan bersedia untuk mencabar pemikiran konvensional.
Namun, Trump tidak memberikan jawapan secara langsung ketika ditanya perancangan jangka panjang yang ingin dilakukan di Gaza untuk jangka masa panjang.
"Saya melihat pemilikan jangka panjang dan saya melihatnya membawa kestabilan besar ke bahagian Timur Tengah itu," katanya, sambil menambah bahawa beliau telah berbincang dengan pemimpin serantau dan mereka menyokong idea tersebut.
"Saya telah mengkaji perkara ini dengan sangat teliti selama beberapa bulan," tambah Trump.
Sebelum itu, Trump mengulangi gesaannya agar Jordan, Mesir, dan negara Arab lain menerima rakyat Gaza, dengan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain meninggalkan wilayah yang perlu dibangunkan semula selepas hampir 16 bulan perang dahsyat antara Israel dan pejuang Hamas.
Kali ini, Trump menyatakan bahawa beliau menyokong penempatan semula rakyat Palestin secara "kekal," melebihi cadangannya sebelum ini yang telah ditolak secara tegas oleh pemimpin Arab.
Pemindahan paksa penduduk Gaza kemungkinan besar melanggar undang-undang antarabangsa dan akan ditentang hebat bukan sahaja di rantau itu tetapi juga oleh sekutu Barat AS.
Sesetengah aktivis hak asasi manusia menyamakan idea itu dengan pembersihan etnik.
Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, mengecam gesaan Trump agar rakyat Gaza meninggalkan tanah air mereka sebagai "pengusiran secara paksa."
"Kami menganggapnya sebagai resipi untuk mencetuskan kekacauan dan ketegangan di rantau ini kerana rakyat Gaza tidak akan membiarkan rancangan seperti ini berlaku," katanya.
Trump tidak memberikan butiran bagaimana proses pemindahan itu akan dilaksanakan, tetapi cadangannya mencerminkan kehendak sayap kanan Israel dan bercanggah dengan komitmen bekas Presiden Joe Biden terhadap larangan pemindahan besar-besaran rakyat Palestin.-REUTERS.