fb fb fb fb fb

Arahan pemindahan utara Gaza, burukkan lagi situasi kemanusiaan

FOTO AFP

GAZA, 10 Oktober- Organisasi Bantuan Antarabangsa memberi amaran bahawa arahan terbaharu Israel yang memaksa baki rakyat Palestin di utara Gaza berpindah akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan sedia ada di kawasan berkenaan.

Amaran itu dikeluarkan secara bersama oleh sembilan organisasi termasuk Kumpulan Masyarakat Sivil daripada United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland.

"Tindakan terbaharu Israel ini akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di kawasan utara.

"Sekali gus menghalang organisasi kemanusiaan kebangsaan dan antarabangsa daripada melaksana misi menyalurkan bantuan serta menyelamatkan nyawa," memetik kenyataan bersama sembilan organisasi terlibat yang disiarkan menerusi Agensi Berita Wafa.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa tiada tempat yang selamat untuk rakyat Palestin di Semenanjung Gaza ketika ini.

Justeru, pentingnya pengagihan sumbangan dapat diteruskan tanpa sebarang ancaman pemindahan paksa susulan operasi ketenteraan.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa keadaan di utara Gaza semakin merosot lebih cepat dengan kira-kira 400,000 orang diarah berpindah di tengah-tengah kemuncak serangan darat oleh rejim Zionis.

Sehubungan itu, kenyataan sama juga menggesa agar gencatan senjata kekal dilaksana segera bagi melindungi nyawa orang awam sekali gus meningkatkan jumlah penghantaran bantuan manusiaan kemanusiaan.

Baru-baru ini, Israel telah mengarahkan penduduk utara Gaza mengosongkan rumah mereka dan berpindah ke Khan Younis dan Deir al-Balah.

Semalam, Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu turut meminta tiga hospital di utara dikosongkan dalam tempoh 24 jam.

Trainee2