RIYADH, 11 Mac- Arab Saudi dan Qatar pada Selasa mengecam tindakan Israel yang memotong bekalan elektrik ke Gaza.
Kedua-dua negara itu menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi menyediakan perlindungan yang diperlukan untuk rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Arab Saudi mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Israel yang menggunakan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin di Gaza dengan memutuskan bekalan elektrik ke kawasan itu.
Sementara itu, Qatar dalam kenyataan berasingan turut menganggap tindakan tersebut sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pertubuhan Bangsa Bersatu memberi amaran mengenai kesan buruk terhadap penduduk Gaza yang telah terjejas, manakala Britain menyatakan kebimbangannya terhadap situasi tersebut.
Terdahulu, Israel memutuskan satu-satunya talian elektrik ke loji penyahgaraman air di Gaza dalam usaha menekan Hamas agar membebaskan baki tebusan yang ditahan sejak serangan pada 7 Oktober 2023- AFP