RIYADH, 31 Oktober - Arab Saudi pada Rabu berkata ia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam pada 11 November untuk menangani serangan Israel di wilayah Palestin dan Lubnan, serta perkembangan serantau.
Agensi Anadolu melaporkan kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi yang mengatakan sidang kemuncak yang dirancang itu akan menjadi susulan daripada sidang kemuncak sebelum ini yang diadakan di Riyadh pada 11 Nov 2023, untuk membincangkan perang Israel di Gaza.
Kementerian itu mengutuk "jenayah dan pelanggaran" berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, serta serangan di Lubnan, sambil menekankan risiko serius terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.
Ketegangan serantau telah meningkat berikutan serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza, yang mengorbankan lebih 43,160 orang sejak 7 Okt tahun lepas.
Ketika konflik merebak ke Lubnan dengan Israel melancarkan serangan maut di seluruh negara, lebih 2,700 orang terbunuh dan lebih 12,500 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak tahun lepas, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.
Walaupun terdapat amaran antarabangsa bahawa rantau Timur Tengah berada di ambang perang serantau akibat serangan berterusan Israel di Gaza dan Lubnan, Tel Aviv memperluaskan konflik itu pada 1 Okt dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan. - BERNAMA