BANGKOK, 13 Disember - Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menegaskan, negara itu bukan penyerang dalam konflik dengan Kemboja.
Sebaliknya, tindakan ketenteraan yang diambil adalah bagi melindungi kedaulatan dan rakyatnya.
Penegasan tersebut dinyatakan Anutin kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam satu panggilan telefon diantara kedua-dua tokok tersebut.
Anutin dalam pada itu mendedahkan Trump memberitahunya bahawa beliau mahukan keamanan dan menggesa Bangkok, menghentikan operasi dan kembali kepada gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini.
"Beliau (Trump) mahukan gencatan senjata. Saya menegaskan, Kemboja perlu terlebih dahulu mematuhi gencatan senjata yang telah dipersetujui dengan menarik balik kedudukan tenteranya di sempadan dan mengeluarkan semua periuk api yang telah ditanam,'' katanya.
Presiden Trump campur tangan sekali lagi bagi menyelamatkan gencatan senjata yang diusahakannya. Beliau bertemu Anutin dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet di Malaysia Oktober lalu, menyaksikan kedua-dua pemimpin negara bergolak itu telah menandatangani perjanjian gencatan senjata.