fb fb fb fb fb

Angka korban Taufan Man-yi di Filipina meningkat 12 orang

Gambar dari pandangan udara menunjukkan rumah dan ladang di Quezon, daerah Nueva Ecija, Filipina, yang terjejas akibat banjir susulan Taufan Man-yi pada 18 November 2024/REUTERS/Adrian Portugal

MANILA, 21 November- Angka korban akibat Taufan Man-yi meningkat kepada 12 orang, menurut kenyataan Agensi Bencana Kebangsaan pada Khamis.

Bencana itu yang melanda hujung minggu lalu telah membanjiri perkampungan, meranapkan struktur bangunan rapuh, serta membawa angin kencang berkelajuan maksimum 185 kilometer sejam.

Man-yi merupakan taufan besar keenam dalam tempoh sebulan yang melanda Filipina, mengakibatkan sekurang-kurangnya 175 kematian secara keseluruhan, ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal, serta kemusnahan besar terhadap tanaman dan ternakan. Kebanyakan kematian dicatatkan di kawasan pergunungan utara Manila.

Antara insiden terburuk ialah tanah runtuh di Nueva Vizcaya yang menimbus sebuah rumah, mengakibatkan tujuh kematian.

Sementara itu, sebuah rumah di Dipaculao, lokasi kedua Man-yi melanda, musnah akibat dihentam batu besar, menyebabkan tiga orang maut, manakala empat individu lagi dilaporkan hilang.

"Kami kini berada dalam fasa pemulihan, dan penduduk telah mula membaiki rumah mereka," kata Pegawai Kanan Pejabat Pertahanan Awam, Ariel Nepomuceno.

Beliau turut memaklumkan bahawa bahan binaan sedang dihantar ke kawasan yang paling terjejas.

Di bandar Tuguegarao, banjir akibat pelepasan air empangan dan limpahan Sungai Cagayan telah mula surut.

"Paras air kini hanya setinggi satu kaki (0.3 meter) dan sebahagian penduduk telah pulang ke rumah masing-masing," kata pegawai bencana, Ian Valdepenas.

Susulan kejadian itu, sekolah dan pejabat kerajaan di kawasan terlibat telah kembali beroperasi seperti biasa.

Filipina secara purata dilanda sekitar 20 taufan besar setiap tahun. Namun, kejadian cuaca ekstrem berturut-turut dalam tempoh singkat seperti itu dianggap jarang berlaku. -AFP

SITI AISHAH MD ISA