(Sebuah kapal layar tersadai di halaman sebuah rumah selepas Taufan Ian/AFP)
AMERIKA SYARIKAT, 3 Oktober- Angka kematian akibat Taufan Ian yang melanda Amerika Syarikat (AS), melonjak melebihi 40 kematian pada Sabtu.
Presidennya, Joe Biden menuju ke Florida pada Ahad untuk meninjau kemusnahan yang berlaku akibat taufan itu.
Komuniti Florida mengalami kemusnahan teruk dan masih mencari mangsa yang terselamat.
Rumah, restoran dan perniagaan turut terganggu berikutan taufan kategori 4 itu melanda pada Rabu.
Jumlah kematian akibat taufan itu disahkan meningkat kepada 44 orang di seluruh negeri, kata Suruhanjaya Pemeriksa Perubatan Florida pada Sabtu.
Tetapi laporan kematian tambahan masih dicatatkan mengikut daerah dan menunjukkan angka yang semakin meningkat.
Lee County mencatatkan 35 kematian, menurut pegawai keselamatan di sana.
Pejabat gabenor di pantai Carolina Utara mengesahkan empat kematian berkaitan Ian.
(Pemandangan udara selepas Taufan Ian melanda/AFP)
Menurut Pengawal Pantai AS, 16 pendatang asing hilang daripada bot yang karam semasa taufan, namun dua orang daripadanya ditemui mati dan sembilan yang lain berjaya diselamatkan, termasuk empat warga Cuba yang berenang ke pantai di Florida Keys.
Lebih 900,000 penduduk terputus bekalan elektrik di Florida pada malam Sabtu, sekali gus menghalang usaha mereka yang berpindah untuk pulang ke rumah masing-masing.
Ian melintasi Florida dan ke Lautan Atlantik sebelum membuat pendaratan di AS sekali lagi.
Taufan Kategori 1 itu, membadai pantai Carolina pada Jumaat, dengan angin berkelajuan maksimum 85 batu (140 kilometer) sejam.
Ia kemudiannya diturunkan kepada siklon pasca-tropika, dan ia meresap ke atas Virginia lewat Sabtu.
Menurut laman web poweroutage.us pada Sabtu, lebih 45,000 penduduk masih tiada bekalan elektrik di seluruh North Carolina dan Virginia..-AFP